Sabtu, 6 Oktober 2012

TUDIAA!! Kerajaan Selangor Rampas Tanah Rakyat Susah?



Sesungguhnya, tidak ada yang lebih zalim dari merampas tanah rakyat miskin. Dan inilah yang dilakukan oleh kerajaan PR Selangor yang kononnya berjuang untuk rakyat di mana Menteri Besarnya begitu tega ingin merampas tanah yang dimiliki oleh syarikat Permodalan YBK (PYBK), iaitu anak syarikat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang seluas 1,625 ekar di Serendah, Hulu Selangor. Seluas 218 ekar daripada tanah tersebut telah dicadangkan sebagai tapak Projek UiTM. Alasan Kerajaan PR Selangor untuk merampas tanah milik syarikat tersebut ialah kerana kononnya telah tidak membayar cukai tanah.

Namun keputusan mahkamah yang memihak kepada PYBK semalam membuktikan bahawa cukai tanah sebanyak RM1.280 juta telah dibayar pada 31.8.2009 (‘bayaran pertama”) sebagai memenuhi syarat permohonan Kebenaran Merancang kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Dan cukai tertunggak sebanyak RM5.7 juta pula dibayar pada 1.2.2010 melalui Yayasan Melaka (“bayaran kedua”).

Namun, apa yang berlaku ialah:

i) Bayaran pertama dipulangkan tanpa sebarang alasan diberikan bahkan tiada Notis 6A dikeluarkan untuk tanah tersebut;

ii) Bayaran kedua dipulangkan dengan alasan bahawa bayaran tersebut tidak boleh dibuat oleh pihak ketiga iaitu Yayasan Melaka

Tindakan kerajaan negeri memulangkan semula bayaran menunjukkan bahawa mereka memang berniat untuk merampas tanah milik PYBK ini. Ini kerana pihak ketiga atau keempat yang membuat bayaran tidak sepatutnya menjadi soal jika benar isunya adalah ‘cukai tanah tidak berbayar’.

Justeru, persoalannya ialah apakah motif kerajaan PR Selangor untuk merampas tanah ini?

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom mengesahkan bahawa tanah hak milik syarikat tersebut telah pun mempunyai geran dan cukai premium tanah sejak diambilalih pada 1997 juga telah dijelaskan. Maka, jika kerajaan negeri ingin mengambil-alih tanah tersebut, ia perlulah melalui proses pengambilan tanah mengikut undang-undang.

Menurut laporan awal, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk merampas tanah seluas 526 hektar bernilai RM540 juta di Serendah, Rawang, milik YBK kerana yayasan itu enggan membenarkan Kerajaan Selangor campur tangan dalam urusan operasi dan pentadbirannya.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 Oktober lalu telah menetapkan Menteri Besar perlu dilantik sebagai Pengerusi YBK, manakala seorang lagi wakil kerajaan negeri dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dengan portfolio kebajikan, namun tiada maklum balas positif daripada yayasan itu.

Sekali lagi, apakah motifnya bagi kerajaan PR Selangor untuk beria-ia ingin masuk campur dalam urusan dan operasi YBK? Jika alasannya adalah kerana ingin memantau kewangan dan pentadbiran YBK untuk memastikan kebajikan rakyat miskin terjaga tentulah tidak boleh diterima kerana segala program YBK adalah telus selain kewujudannya sudah begitu lama dan terbukti berkesan.

Lagipun, rakyat Selangor yang ‘dekat’ dengan program-program kebajikan pasti sedia maklum tentang bagaimana kerajaan PR Selangor telah menghentikan sumbangan yang biasa diperuntukan kepada beberapa rumah anak-anak yatim di negeri ini oleh kerajaan BN sebelum ini. Tiada alasan diberikan atas tindakan menghentikan sumbangan tersebut. Justeru, alasan prihatin terhadap rakyat miskin tentulah tidak boleh diterimapakai.

Oleh itu, rakyat melihat bahawa motif kerajaan Selangor ingin merampas tanah ini tidak lain tidak bukan ialah kerana PYBK dilihat sebagai tidak menepati aspirasi PR yang memegang prinsip kesamarataan total, selain ingin meneroka peluang untuk membuat ‘keuntungan’ dari tanah yang begitu luas.

Secara amnya, pembinaan UiTM serta program-program yang melibatkan rakyat miskin oleh PYBK pastinya mensasarkan kaum Melayu. Inilah yang dikatakan tidak menepati prinsip kesamarataan total yang didokong PR. Pastinya, DAP yang sedia menggenggam leher Khalid Ibrahim memberi tekanan yang hebat kepada beliau agar memastikan segala projek atau program yang mengutamakan sesuatu kaum terutama bumiputera, dihentikan atau ditiadakan terus.

Lebih dari itu, sebagai seorang yang berlatarbelakangkan korporat dan memerintah dengan berorientasikan keuntungan, Khalid Ibrahim sendiri tidak berminat dengan program-program atau projek ‘ala’ kebajikan yang dilakukan oleh PYBK, sedangkan tanah yang luas itu boleh membawa hasil yang lebih jika dibangunkan pusat komersial atau perumahan mewah.

Apa yang berlaku dalam isu tanah PYBK ini telah menyerlahkan sifat sebenar PR yang bercakap tidak serupa bikin. Slogan ‘Demi Rakyat’ yang mereka laungkan hanyalah untuk rakyat yang sedia kaya, kaum Cina dan golongan korporat atau peniaga yang berjaya. Rakyat miskin yang tidak membayar cukai dan tidak membawa pendapatan atau keuntungan kepada negeri tidak perlu diberi perhatian. Dengan cara ini, barulah PR mampu membuktikan ‘kecekapan’ dalam mentadbir negeri, di mana hasilnya tercatat dalam bentuk angka keuntungan atau pendapatan tahunan.

Dengan itu, inilah diingatkan bahawa jika PR dibiarkan terus memerintah Selangor, tidak mustahil orang miskin dan sederhana iaitu yang majoritinya adalah Melayu, perlu kembali ke kampung atau meneroka hutan sepertimana yang pernah dilaungkan oleh DAP ketika tragedi 13 Mei.

Tiada ulasan: